Monday, June 13, 2011

Pemborosan Melampau Menteri Umno

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei menyifatkan peruntukan bagi meraikan Hari Seniman yang dihabiskan  Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim sebanyak RM 100 juta sebagai pembaziran tahap melampau.


“Ini pembaziran tahap melampau di kala rakyat dibebani dengan penarikan subsidi oleh kerajaan. Duit sebanyak itu boleh dibuat jalan sejauh 60 km, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti ambil tindakan dan siasat segera peruntukkan yang begitu besar,” kata Shuhaimi

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tindakan tegas berhubung perkara tersebut kerana dikhuatiri terdapat penyelewengan dilakukan pihak tertentu.

“Najib tidak boleh berdiam diri apabila menterinya menghabiskan sejumlah wang  hanya satu majlis kerana ini satu pembaziran yang dibimbangi ada komisyen kepada orang tertentu.

“Inilah menteri Umno BN yang sanggup melihat kesusahan rakyat demi mengkayakan kroni. Pembaziran ini tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan ekonomi yang merosot,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak sekiranya wujud kebocoran sekurang-kurangnya 40 peratus daripada wang peruntukan untuk program itu.

“Tidak sepatutnya sebanyak itu peruntukkan untuk Hari Seniman, tidak mustahil sekiranya ada kebocoran sekurang-kurangnya 40 peratus yang kita ragui yang pergi ke tempat lain,” kata beliau.

Bernama sebelum ini melaporkan Datuk Rais Yatim  menghabiskan RM100 juta, atau separuh bajet tahunan untuk projek kreatif untuk acara sehari sambutan Hari Seniman 2011 yang disifatkan oleh penggiat seni tempatan sebagai “projek mee segera”.

Tindakan itu turut menghadirkan kecaman daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyatakan, sebahagian  jumlah itu atau RM2 juta, boleh digunakan untuk membiayai festival warisan George Town selama sebulan di Pulau Pinang yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sunday, June 12, 2011

Pilih PR untuk menikmati Negara Berkebajikan

KUALA LUMPUR, 12 Jun: Rakyat digesa memilih Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 jika mahu merasai nikmat negara berkebajikan yang mahu diperkenal PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat bakal menikmati kehidupan lebih baik dibawah konsep negara berkebajikan Pakatan Rakyat berbanding di bawah BN sekarang ini.

Tambahnya, ianya boleh dilihat di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang dan juga sebahagiannya telah ditawarkan dalam Buku Jingga.

"Kalau nak tahu apa itu negara kebajikan, rakyat pilih kita pada pilihan raya akan datang.

"Beri kita lima tahun, kita akan tunjuk apa kita akan lakukan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat kali pertama untuk sesi 2011-2013 di Pejabat Agung PAS hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hasrat PAS mahu melaksanakan negara berkebajikan itu 'meniru' apa yang telah dibuat BN sejak lama.

Terbaru, seorang lagi bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan PAS menggugurkan perjuangan negara Islam dan diganti negara kebajikan, sekadar umpan untuk meraih undi bukan Islam.

Menjawab tomahan itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, "itu kenyataan orang yang tidak membaca apa dia politik Islam".

Katanya, negara berkebajikan PAS jauh berbeza dengan Umno di mana PAS meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan yang tidak dibuat oleh Umno BN.

"Sebahagiannya kita berjaya buat di negeri yang kita perintah di Kelantan, Kedah, pernah di Perak dan Terengganu termasuk di Selangor dan Pulau Pinang.

"Konsep berkebajikan bukan sahaja kebajikan kepada rakyat, tetapi juga tidak mengerjakan perkara yang haram antaranya meninggalkan rasuah bukan sahaja kerana SPRM tetapi kerana perintah Allah," katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pemimpin Umno BN itu sedang 'kepanasan' dengan apa yang mahu diperkenal PAS itu.

Apatah lagi, katanya ekonomi negara berkebajikan yang mahu dilaksanakan PAS akan menambah pendapatan negara tanpa membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang dan menaikkan cukai kepada rakyat kebanyakan seperti dibuat BN.

"Terengganu kita (PAS) pernah hapuskan tol (jambatan). Jelas itu satu kebajikan yang kita buat kerana melihat yang lalu itu peniaga-peniaga kecil, orang kampung.

"Walaupun kita rugi berjuta, namun kita tampung dengan menaikkan cukai kepada mereka yang kaya seperti industri dan pembalakan," ujarnya.

Sunday, June 5, 2011

Ucapan TGHH : Ulasan Dr Mohd Asri

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Selamat bermuktamar kepada PAS dan tahniah kepada yang diberikan amanah. PAS adalah tonggak politik negara. PAS adalah nafas umat Islam dalam berpolitik di negara ini.
Saya mengalu-alukan kenyataan YB Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut: “Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan”.
Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS. Dalam masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari rethoric negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia. Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah atau islamic state seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah (decolonization).
Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu. Apabila perkataan ‘daulah Islamiyyah’ atau Islamic statemuncul, kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka perkataan daulah Islamiyyah atauIslamic state ini mula dipopular oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia. Disebabkan istilah ini juga mereka berbalah bahkan menuduh pihak lain kurang islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan daulah islamiyyah atau negara Islam itu. Walaupun kadang-kala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai.
Cuma, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah ini, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik. Gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan ‘negara Islam’ itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata. Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan utopia state yang hanya wujud diminda, tidak mungkin pada realitinya.
Alhamdulillah, apabila gerakan Islam –sebahagian mereka- benar-benar terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan. Kembali mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis, juga amalan para khalifah Islam yang mendapat petunjuk (al-Khulafa al-Rasyidin), maka mereka akhir jelas mengapa perkataan ‘negara islam’ atau daulah islamiyyah itu tidak wujud atau tidak disebut.
peta_malaysia.jpg
Politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana. Namun, prinsipnya kekal. Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya. Bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya. Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya. Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam. Soal mekanisme hukum –sama ada hudud atau tidak- dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang kondusif yang memungkin keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi. Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan.
Sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih kehadapan, namun hari ini- dengan kenyataan YB Presiden akan memberikan nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.
Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud ‘negara kebajikan’ yang hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas. Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. Ini kerana welfare state mempunyai pelbagai gambaran. Secara umum, dunia memahami welfare state adalah negara-negara yang memakai nordic model seperti Norway, Denmark, Sweden dan lain-lain. Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut.

Thursday, June 2, 2011

PAS Harapan Rakyat

DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan sahabat yang muttaqin.

Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-57 yang berlangsung di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar 3-5 Jun ini amat di nanti-nantikan oleh rakyat yang menyokong PAS, dan juga pendokong aspirasi Pakatan Rakyat keseluruhannya.

Rakyat ingin melihat, siapakah yang bakal dipilih perwakilan untuk menerajui PAS menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Rakyat ingin mengetahui sejauhmana PAS bersedia menggalas harapan rakyat untuk menggantikan Umno sebagai sebuah kerajaan bersama Pakatan Rakyat.

Dalam Muktamar ini juga, rakyat ingin mengetahui apakah agenda yang ditawarkan PAS kepada rakyat Malaysia, yang boleh disandarkan bagi membuktikan kesungguhan PAS untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sebagai sebuah parti Islam yang terbesar, berpengalaman luas dan semakin bertapak dalam negara, PAS harus tampil sebagai parti terulung yang menyelamatkan negara daripada kedurjanaan Umno-Barisan Nasional.

Pemimpin dan perwakilan PAS dari seluruh negara, harus membuka minda mereka seluas-luasnya dan harus memuhasabah diri, memikirkan apakah ciri-ciri yang melayakkan mereka menjadi penyumbang kepada peneraju perubahan dalam negara.

Sesungguhnya keberadaan PAS dalam negara ini, bukan untuk menjadi parti yang menumpang arus yang diciptakan oleh rakan seperjuangan, tetapi sudah sampai masanya PAS menjadi pemain utama yang mencipta arus rakyat.

Untuk itu, kepimpinan dan seluruh ahli PAS harus berganding bahu, bukan sahaja membentuk jati diri mereka sebagai muslim yang komited dengan sahsiah yang unggul, malah harus mempunyai elemen-elemen yang dikagumi rakyat keseluruhannya.

PAS wujud untuk memartabatkan Islam, memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, bukan untuk dalam kalangan PAS sahaja, tetapi ianya untuk seluruh rakyat Malaysia.

Dalam menghadapi pemilihan kali ini, seluruh perwakilan harus meletakkan keutamaan menyediakan PAS, untuk terus memainkan peranan utama dalam pentas politik negara bersama Pakatan Rakyat.

PAS harus semakin memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti KeADILan dan DAP. PAS harus ke hadapan dalam menjalim hubungan dengan NGO, khususnya dari kalangan bukan Melayu, bukan Islam.

Untuk mendepani cabaran ini, untuk meletakkan PAS terus unggul di persada politik negara, PAS harus membentuk agenda perjuangannya sesuai dengan aspirasi rakyat.

Agenda yang menepati kehendak atau aspirasi rakyat adalah suatu agenda yang meletakkan keutamaan memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat dengan adil dan saksama tanpa memilih warna kulit, kaum mahu pun agama.

Rakyat mahu melihat terus melihat bagaimana kerajaan negeri yang diterajui PAS di Kelantan, sepenggal di Terengganu dan kini di Kedah, mengamalkan dasar negara berkebajikan mengikut kehendak Islam.

Keadilan Islam yang diterajui perjuangannya menerusi PAS harus dilaksanakan, ditawar dengan sebaik-baiknya agar seluruh rakyat Malaysia memahaminya.

Apabila rakyat sudah faham dan menikmati kebaikan dan kebajikan berasaskan Islam, sekali gus sebarang persepsi buruk terhadap Islam itu sendiri akan dapat dihapuskan.

Dengan penghapusan jurang ini, ia semakin mendekatkan PAS dengan rakyat. Perjuangan PAS adalah untuk semua. Untuk memperjuangan hak semua rakyat pemimpin PAS harus dekat dihati rakyat.

Maka perwakilan Muktamar PAS kali ini mempunyai peranan yang amat besar. Iaitu memilih pucuk pimpinan dan menetapkan agenda yang mampu memartabatkan PAS ke tahap yang lebih unggul.

Moga-moga perjuangan Islam yang dibawa PAS akan diterima dan diiktiraf, serta meletakkannya sebagai peneraju unggul dalam Kerajaan Pusat bersama Pakatan Rakyat pada PRU akan datang.

Selamat bermuktamar!