Sunday, October 30, 2011

PAS mendapat pembelaan Cina

Berambuslah MCA: Warga internet Cina tampil bela PAS |

Memang sesuatu yang dijangka apabila MCA menggunakan "Hukum Hudud" untuk menyerang Pakatan Rakyat, ketika isu ini kembali semula ke persada politik menjelang PRU ke-13.

Namun, ia mungkin sesuatu di luar jangkaan apabila serangan MCA kali ini mengundang reaksi sebaliknya di ruang internet, menyaksikan bagaimana parti Cina ini dibidas sehabis-habisnya oleh warga internet.

Artikel berjudul "Orang Cina Malaysia wajib baca! MCA, Saya nak undi PAS!"ditulis oleh seorang penulis dengan nama samaran "yue" (maksud: bulan), disiarkan oleh seorang rakannya melalui laman sosial Facebook pada jam 2 petang, 4 Oktober 2011. Tulisan ini telah dikongsi oleh kira-kira 1,500 rakan Facebook, dalam masa 48 jam.

Meskipun diselit dengan kata-kata kesat yang mencaci MCA, namun tulisan ini sempat mengulas alasannya memperlekehkan MCA dan mengapa PAS dibela.MCA dibidas kerana tunduk dan bersekongkol dengan UMNO; sementera PAS disanjung kerana beberapa langkah yang memperlihatkan "keterbukaannya" terhadap golongan bukan muslim.

Bagaimanapun, penulis tidak menunjukkan pendirian untuk menyokong pelaksanaan Hukum Hudud, hanya menyebut ia sebagai matlamat tertinggi PAS, dan realiti politik hanya membenarkan pelaksanaan dasar bersama dalam "Buku Jingga", seandainya Pakatan Rakyat memerintah. Malah, menurut penulis, seandainya masyarakat Cina tidak suka jika Hukum Hudud dilaksanakan, maka tukarlah semula kepada Barisan Nasional dalam PRU ke-14 kelak.

Yang berikut adalah terjemahan dan suntingan tulisan berjudul "Orang Cina Malaysia wajib baca! MCA, Saya nak undi PAS!"

Saya, sebagai warga Malaysia kaum Cina, tiada Roket mahupun Keadilan bertanding di kawasan pengundian saya, hanya pertembungan terus antara UMNO dengan PAS. Sekarang, secara rasminya saya mengumumkan di sini, bahawa pada PRU yang akan datang, saya akan mengundi PAS!

Melihat kepada pemimpin MCA yang haprak berucap menyerang Hukum Hudud Islam dalam perhimpunan agung tahunannya, kononnya mempertahankan kepelbagaian budaya Malaysia, saya teringin nak berkata, MCA, pergi mampuslah!

XXX, saya sebagai orang Cina di Malaysia, sekarang saya ingin berkata kepada MCA, pada pilihan raya umum yang akan datang, saya pasti akan mengundi PAS! Malas saya nak layan kau!

Jangan kata kepada saya penubuhan Negara Islam, akan dipotong tangan dan dipotong kaki, XXX, Malaysia di bawah perintah kau dan UMNO - Teoh Beng Hock pun boleh jatuh dari bangunan! Polis boleh tembak sewenang-wenangnya! Tak kurang tahanan yang mati dalam lokap! Belum sempat kami dipotong tangan dan kaki oleh PAS, mungkin dah mati kena aniaya unit penguatkuasa!

XXX, MCA, parti yang haprak, saban hari memfitnah PAS dalam akhbar.Tahukah kau, PAS memperuntukkan tanah untuk 'menyara' sekolah menengah Cina di Kelantan; di Perak, benda yang sama berlaku ketika pemimpin PAS menjadi Menteri Besar. XXX... Dah berapa tahun kau MCA menjadi kerajaan, tapi gagal menginstitusikan peruntukan kepada sekolah Cina, dan sekarang kau suruh kami jangan mengundi PAS, gila!

XXX, saya sebagai orang Cina di Malaysia, XXX, satu parti yang besar, dalam perhimpunan agungnya, boleh menggunakan sepenuh masa untuk mengecam idealisme Islam, pada masa yang sama akur secara senyap kepada perkauman sempit UMNO, parti apa yang haprak sebegini? Memang parti haprak yang tidak boleh diselamatkan!

Apabila UMNO menyerang, bahawa Cina adalah "pendatang", suruh kami balik ke Tiongsan, PAS yang tampil mempertahankan kita!

Apabila UMNO melarang bukan-muslim menggunakan kalimah Allah, PAS yang tampil mempertahankan hak bukan muslim!

Apabila UMNO melarang bukan-muslim ke dalam masjid/surau, PAS yang tampil membantah UMNO!

Apabila PERKASA yang pro-UMNO menyerang bahawa Pakatan Rakyat mengkhianati Melayu, PAS yang tampil menyanggah mereka!

XXX, apa yang kau MCA lakukan? Hanya mampu berkata UMNO tak harus begini, tak patut begitu, kalau betul kau hebat, takkan Cina masih menjadi rakyat kelas kedua? Kalau betul ada tulang belakang, keluarlah kau dari Barisan Nasional-lah, bodoh!"

Semakin meluap-luap kemarahan saya... Sekian lama kau MCA makan duit, satu projek PKFZ kau telan RM12.5 bilion, satu Facebook RM1.8 juta, dan wang kopi yang sikit-sikit tu? Kau yang telan wang rakyat! PAS? Pernahkah kau denganr PAS terima rasuah? PAS terkenal dengan bersih dan amanah, 20 tahun memerintah di Kelantan, tiada satu kes rasuah, Menteri Besar duduk dalam rumah kampung, makan nasi lemak! Kau orang senang saja kata kalau menang makan udang galah, masih nak kami undi kau?"

MCA, berambuslah kau! Apabila Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan ISA kerana terdesak dengan tekanan rakyat, kau bagaikan anjing, segera bersetuju! XXX, untuk sekian lama kau menyokong akta yang mencabul hak asasi manusia, kini sikap kau berubah dalam sekelip mata? Kau ingat rakyat ni bodoh? Untuk sekian lama, PAS memimpin rakyat untuk berjuang, sama ada perhimpunan anti ISA, BERSIH 1.0 mahupun BERSIH 2.0, PAS berada di baris paling depan untuk menentang kezaliman - menahan gas pemedih mata, menghalang meriam air berkimia!

Ketika 9 Julai, UMNO mengecam kami kerana berarak di jalan raya. Pada saat yang paling genting, Unit Amal PAS membuka jalan, kemudian berkata, 'Bagi Cina semua keluar dulu, kita lindung mereka!' XXX, mana kau MCA? Di mana kau sorok ketika itu? Sekarang kau panggil kami jangan undi PAS, mampuslah kau!

XXX, dah sekian tahun menjadi kerajaan, Presiden video lucah itu masih berada di atas pentas untuk menggesa agar kerajaan begini, supaya kerajaan begitu... Pernahkah kau anggap diri kau sebagai kerajaan? Kalau kau sendiri tak mampu, tak larat, tukarlah orang! Bodoh!

Apa yang paling hebat, Liow Tiong Lai, mencabar DAP untuk keluar dari Pakatan Rakyat. Ketika hukum Islam diluluskan di DUN Kelantan dan Terengganu, ADUN UMNO menyokong dengan mengangkat kedua-dua tangan mereka. Satu undi pun tidak pernah diluluskan DAP. Mengapa tidak kau memimpin MCA untuk keluar dari Barisan Nasional?

PAS ingin melaksanakan Hukum Hudud, ini matlamat tertinggi parti mereka. Ia bagaikan Parti Demokratik Progresif di Taiwan yang menuntut kemerdekaan, sudah pasti ia tak jadi, kerana tidak dibenarkan realiti politik. Apatah lagi PAS bersekutu dengan dua parti komponen Pakatan Rakyat, semestinya memerintah berdasarkan Buku Jingga apabila berkuasa - bukan matlamat tertinggi PAS mahupun DAP. Mungkin ada yang akan tanya, bagaimana pula di Kelantan?

Saya teringin nak tanya mereka, jikapun terlaksana di Kelantan, apa susahnya? Kau bukannya muslim, apa kena-mengena dengan kau? Lebih-lebih lagi, kau tunggulah sehingga Pakatan Rakyat memperolehi majoriti dua pertiga untuk meminda perlembagaan. Buat masa sekarang, kerajaan pun belum tukar. Kini bertimbun-timbun pengundi hantu, Pakatan Rakyat nak pertahan satu pertiga kerusi pun payah!

Ramai lagi Cina bertanya, matilah kalau Pakatan Rakyat memperolehi majoriti dua pertiga. Saya kata XXX, kepala otak kau, kalau Pakatan Rakyat memperolehi dua pertiga, sudah pasti DAP ada 50 kerusi dalamnya. Kalau DAP tidak mengundi untuk sokong, maka tak jadilah pindaan tu.

Kemudian lebih ramai Cina tanya, kalau DAP menjadi pengecut, menyokong pelaksanaan Hukum Hudud? Kalau kau tak suka, tukar balik Barisan Nasional-lah! Takkan tiada lagi pilihan raya selepas pertukaran kerajaan pada PRU akan datang? Kan pilihan raya memberi peluang kepada kita untuk tukar kerajaan apabila kita tidak setuju dengan dasar kerajaan yang sedia ada?

Sesetengah Cina bodoh betul, saya terus terang di sini. Seandainya pada PRU akan datang, kami menyokong satu kerajaan yang sudah lama korup dan mencabul hak asasi manusia, hanya kerana takut kepada Hukum Hudud yang langsung tak pernah wujud, maka saya perlu kata, benar orang Cina ni hina. Nasib orang Cina dan rakyat akan tergadai pada tangan sendiri!

Sedarlah orang Cina, jangan lagi ditipu MCA! Hanya apabila kami mengundi Roket, Keadilan dan Bulan, bersatu menukar kerajaan yang haprak ini untuk memperbaiki nasib orang Cina di tanahair ini. Seandainya kamu mencintai bangsa kau, seandainya kamu mencintai rakyat kau, seandainya kau mencintai negara kau, berkongsilah tulisan ini dengan setiap orang kawanmu. PRU yang akan datang, kami bernyanyi bersama "Bulan lambang hatiku" (lagu Cina terkenal)!

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia

Saturday, July 30, 2011

SPR menghadapi krisis kepercayaan

Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar hanya mampu mendepa tangan dan mengangkat bahu ketika ditanya mengenai masalah birokrasi dalam membersihkan daftar pemilih.

Wan Ahmad memberi reaksi sedemikian ketika mengulas mengenai amalan sedia ada yang mewajibkan waris pengundi yang meninggal dunia supaya memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila keadaan itu berlaku.

Jelasnya, JPN hanya dapat mengemaskini data berkenaan apabila mendapat laporan daripada waris berkenaan – yang membolehkan SPR mengemaskini data berhubung pengundi berkenaan.

"Tapi bawah sistem sedia ada, balai polis yang mengeluarkan permit mengkebumi jenazah tidak dirangkaikan dengan JPN.

"Kita tidak boleh hanya padamkan nama orang dalam daftar pemilih," katanya lagi yang mengundang keluhan daripada kira-kira 300 orang yang hadir di majlis forum anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) itu.

Bercakap dalam debat pusingan kedua bersama pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Wan Ahmad turut menjelaskan bahawa SPR berusaha membersihkan sehingga 7,000 nama pengundi yang meninggal dunia daripada daftar pemilih setiap bulan.

Menjawab soalan berhubung cadangan supaya pemilih didaftarkan secara automatik sebaik mencapai usia layak mengundi pula, Wan Ahmad berkata cadangan berkenaan boleh dikemukakan kepada kerajaan.

"Tetapi dalam sistem sekarang, kerajaan perlu setuju dengan pindaan itu dahulu, barulah rang undang-undang itu boleh didrafkan oleh Peguam Negara.

"Kita mungkin fikir perkara itu betul tapi ada orang yang berfikiran berlainan," katanya lagi yang menambah rakyat juga perlu diberi hak untuk memilih sama ada mereka mahu mendaftar sebagai pemilih.

Jawapan itu nyata tidak memuaskan hati beberapa orang yang hadir sehingga ada yang mencabar Wan Ahmad supaya bertindak meletak jawatan atas dasar prinsip sekiranya cadangan mereka enggan diterima oleh kerajaan.

Wan Ahmad turut dicabar sekali lagi supaya mendedahkan cadangan pindaan yang dikemukakan olehnya kepada kerajaan sebelum ini agar dapat memulihkan persepsi yang timbul terhadap badan pengurus pilihan raya itu.

Pengerusi jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo berkata, SPR perlu tegas dalam mengemukakan pindaan itu atas dasar prinsip.

Seorang lagi yang mengemukakan soalan, bekas hakim kanan Datuk KC Vohrah berkata, Peguam Negara tidak berhak untuk menentukan perkara yang betul atau salah bagi pihak SPR.

"Saya tidak faham mengapa Peguam Negara perlu draf undang-undang anda. Sepatutnya anda pergi kepada peguam negara dan pertahankan pendirian anda," kata Vohrah lagi yang merupakan bekas penasihat kanan di Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, moderator forum berkenaan, Tan Sri Ramon Navaratnam turut meminta hadirin supaya mengangkat tangan sekiranya mereka melihat SPR sebagai badan yang tidak bebas.

Hampir kesemua yang hadir di majlis berkenaan mengangkat tangan apabila ditanya sedemikian.

Wan Ahmad dalam penjelasannya kemudiannya sekadar berkata, permintaan itu terlalu besar dan para hadirin sepatutnya perlu lebih munasabah.

"Anda perlu munasabah kerana kita bekerja dalam sistem. Hakim juga boleh tekankan apa saja reformasi tapi kita perlu bekerja di dalam sistem," katanya lagi dalam forum yang turut disertai peguam veteran Datuk Mohd Shafee Abdullah.

Monday, June 13, 2011

Pemborosan Melampau Menteri Umno

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei menyifatkan peruntukan bagi meraikan Hari Seniman yang dihabiskan  Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim sebanyak RM 100 juta sebagai pembaziran tahap melampau.


“Ini pembaziran tahap melampau di kala rakyat dibebani dengan penarikan subsidi oleh kerajaan. Duit sebanyak itu boleh dibuat jalan sejauh 60 km, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti ambil tindakan dan siasat segera peruntukkan yang begitu besar,” kata Shuhaimi

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu mengambil tindakan tegas berhubung perkara tersebut kerana dikhuatiri terdapat penyelewengan dilakukan pihak tertentu.

“Najib tidak boleh berdiam diri apabila menterinya menghabiskan sejumlah wang  hanya satu majlis kerana ini satu pembaziran yang dibimbangi ada komisyen kepada orang tertentu.

“Inilah menteri Umno BN yang sanggup melihat kesusahan rakyat demi mengkayakan kroni. Pembaziran ini tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan ekonomi yang merosot,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak sekiranya wujud kebocoran sekurang-kurangnya 40 peratus daripada wang peruntukan untuk program itu.

“Tidak sepatutnya sebanyak itu peruntukkan untuk Hari Seniman, tidak mustahil sekiranya ada kebocoran sekurang-kurangnya 40 peratus yang kita ragui yang pergi ke tempat lain,” kata beliau.

Bernama sebelum ini melaporkan Datuk Rais Yatim  menghabiskan RM100 juta, atau separuh bajet tahunan untuk projek kreatif untuk acara sehari sambutan Hari Seniman 2011 yang disifatkan oleh penggiat seni tempatan sebagai “projek mee segera”.

Tindakan itu turut menghadirkan kecaman daripada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyatakan, sebahagian  jumlah itu atau RM2 juta, boleh digunakan untuk membiayai festival warisan George Town selama sebulan di Pulau Pinang yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Sunday, June 12, 2011

Pilih PR untuk menikmati Negara Berkebajikan

KUALA LUMPUR, 12 Jun: Rakyat digesa memilih Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 jika mahu merasai nikmat negara berkebajikan yang mahu diperkenal PAS dan rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan guru Abdul Hadi Awang berkata, rakyat bakal menikmati kehidupan lebih baik dibawah konsep negara berkebajikan Pakatan Rakyat berbanding di bawah BN sekarang ini.

Tambahnya, ianya boleh dilihat di negeri-negeri yang diperintah Pakatan Rakyat iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang dan juga sebahagiannya telah ditawarkan dalam Buku Jingga.

"Kalau nak tahu apa itu negara kebajikan, rakyat pilih kita pada pilihan raya akan datang.

"Beri kita lima tahun, kita akan tunjuk apa kita akan lakukan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja PAS pusat kali pertama untuk sesi 2011-2013 di Pejabat Agung PAS hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata hasrat PAS mahu melaksanakan negara berkebajikan itu 'meniru' apa yang telah dibuat BN sejak lama.

Terbaru, seorang lagi bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menyifatkan tindakan PAS menggugurkan perjuangan negara Islam dan diganti negara kebajikan, sekadar umpan untuk meraih undi bukan Islam.

Menjawab tomahan itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, "itu kenyataan orang yang tidak membaca apa dia politik Islam".

Katanya, negara berkebajikan PAS jauh berbeza dengan Umno di mana PAS meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai sumber rujukan yang tidak dibuat oleh Umno BN.

"Sebahagiannya kita berjaya buat di negeri yang kita perintah di Kelantan, Kedah, pernah di Perak dan Terengganu termasuk di Selangor dan Pulau Pinang.

"Konsep berkebajikan bukan sahaja kebajikan kepada rakyat, tetapi juga tidak mengerjakan perkara yang haram antaranya meninggalkan rasuah bukan sahaja kerana SPRM tetapi kerana perintah Allah," katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pemimpin Umno BN itu sedang 'kepanasan' dengan apa yang mahu diperkenal PAS itu.

Apatah lagi, katanya ekonomi negara berkebajikan yang mahu dilaksanakan PAS akan menambah pendapatan negara tanpa membebankan rakyat dengan kenaikan harga barang dan menaikkan cukai kepada rakyat kebanyakan seperti dibuat BN.

"Terengganu kita (PAS) pernah hapuskan tol (jambatan). Jelas itu satu kebajikan yang kita buat kerana melihat yang lalu itu peniaga-peniaga kecil, orang kampung.

"Walaupun kita rugi berjuta, namun kita tampung dengan menaikkan cukai kepada mereka yang kaya seperti industri dan pembalakan," ujarnya.

Sunday, June 5, 2011

Ucapan TGHH : Ulasan Dr Mohd Asri

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Selamat bermuktamar kepada PAS dan tahniah kepada yang diberikan amanah. PAS adalah tonggak politik negara. PAS adalah nafas umat Islam dalam berpolitik di negara ini.
Saya mengalu-alukan kenyataan YB Presiden PAS DS Abdul Hadi Awang semalam yang menyebut: “Apa yang penting adalah pelaksanaan. Kalau letak jenama saja tak laksana tak ada faedah. Kita mulakan dengan pelaksanaan negara berkebajikan, itu ada dalam Al-Quran, Dia tak sebut negara Islam, Dia sebut negara berkebajikan”.
Bagi saya ini adalah satu kemajuan yang memberangsangkan dalam PAS. Dalam masa yang sama bererti PAS terus bersama dengan gerakan Islam lain di dunia ini yang mula keluar dari rethoric negara Islam kepada realiti kenegaraan yang sebenar yang diperlukan oleh manusia. Ya, tiada dalam Islam istilah negara Islam atau daulah Islamiyyah atau islamic state seperti yang disangka oleh sesetengah pihak. Ia satu istilah yang muncul ketika kebangkitan umat Islam menghalau penjajah (decolonization).
Sebelum itu, kitab-kitab fekah Islam hanya menyebut Darul Islam atau wilayah Islam yang merujuk kepada wilayah yang dikuasai oleh umat Islam ketika itu. Apabila perkataan ‘daulah Islamiyyah’ atau Islamic statemuncul, kemudian diikuti dengan kebangkitan Revolusi Syiah di Iran, maka perkataan daulah Islamiyyah atauIslamic state ini mula dipopular oleh para pejuang politik islami di seluruh dunia. Disebabkan istilah ini juga mereka berbalah bahkan menuduh pihak lain kurang islam disebabkan tidak bersama dalam perjuangan menegakkan daulah islamiyyah atau negara Islam itu. Walaupun kadang-kala pertentangan ada asasnya, namun sebahagiannya hanya disebabkan perbezaan istilah yang dipakai.
Cuma, sekian lama ramai gerakan Islam yang memperjuangkan istilah ini, mereka masih gagal menetapkan satu takrifan yang jelas dan realistik. Gambaran yang terlalu ideal tentang kenegaraan menjadikan ‘negara Islam’ itu bagaikan satu khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata. Kita boleh lihat khayalan Hizbul Tahrir yang cuba berkembang di negara kita pada hari ini. Ia bolehlah dikatakan utopia state yang hanya wujud diminda, tidak mungkin pada realitinya.
Alhamdulillah, apabila gerakan Islam –sebahagian mereka- benar-benar terlibat sendiri secara langsung dengan politik kenegaraan, maka mereka mula sedar tentang realiti sebenar sesebuah pemerintahan. Kembali mereka merujuk kepada al-Quran dan hadis, juga amalan para khalifah Islam yang mendapat petunjuk (al-Khulafa al-Rasyidin), maka mereka akhir jelas mengapa perkataan ‘negara islam’ atau daulah islamiyyah itu tidak wujud atau tidak disebut.
peta_malaysia.jpg
Politik kenegaraan dan seninya sentiasa berubah mengikut keperluan suasana. Namun, prinsipnya kekal. Ini kerana Islam satu agama realistik. Perjuangan politik dalam Islam, bukanlah perjuangan menegakkan jenama negara, tetapi menegak tanggungjawab dan prinsip-prinsip keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya. Bukan penting pada jenama, tetapi pada isinya. Islam agama yang menjamin keadilan, keamanan, memelihara rakyat dari munkar dan menegakkan kebaikan, menyebarkan kebajikan dan seterusnya. Itulah negara yang dikehendaki oleh Islam. Soal mekanisme hukum –sama ada hudud atau tidak- dibincangkan setelah ditegakkan prinsip dan tanggungjawab utama, diwujudkan suasana yang kondusif yang memungkin keadilan dan keindahan hukum itu berfungsi. Bukan masanya lagi. Tangguhkan dahulu isu-isu makanisme, tumpukan kepada tanggungjawab dan prinsip utama kenegaraan.
Sekian lama istilah negara Islam memisahkan PAS atau menyukarkan parti itu bergerak lebih kehadapan, namun hari ini- dengan kenyataan YB Presiden akan memberikan nafas baru yang lebih luas dan fleksibel kepada PAS.
Cumanya, saya sedang meneliti apakah maksud ‘negara kebajikan’ yang hendak diwujudkan. Saya percaya Presiden PAS ada kerangka yang jelas. Ahli-ahli hendaklah difahamkan terlebih dahulu sebelum membicarakannya secara meluas. Ini kerana welfare state mempunyai pelbagai gambaran. Secara umum, dunia memahami welfare state adalah negara-negara yang memakai nordic model seperti Norway, Denmark, Sweden dan lain-lain. Mungkin PAS ada model yang tersendiri. Apapun saya merasakan PAS akan dapat melangkah dengan lebih jauh dengan kenyataan tersebut.

Thursday, June 2, 2011

PAS Harapan Rakyat

DENGAN Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan sahabat yang muttaqin.

Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-57 yang berlangsung di Markaz Tarbiyah PAS Pusat Taman Melewar 3-5 Jun ini amat di nanti-nantikan oleh rakyat yang menyokong PAS, dan juga pendokong aspirasi Pakatan Rakyat keseluruhannya.

Rakyat ingin melihat, siapakah yang bakal dipilih perwakilan untuk menerajui PAS menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang bakal diadakan bila-bila masa dari sekarang.

Rakyat ingin mengetahui sejauhmana PAS bersedia menggalas harapan rakyat untuk menggantikan Umno sebagai sebuah kerajaan bersama Pakatan Rakyat.

Dalam Muktamar ini juga, rakyat ingin mengetahui apakah agenda yang ditawarkan PAS kepada rakyat Malaysia, yang boleh disandarkan bagi membuktikan kesungguhan PAS untuk berkhidmat kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

Sebagai sebuah parti Islam yang terbesar, berpengalaman luas dan semakin bertapak dalam negara, PAS harus tampil sebagai parti terulung yang menyelamatkan negara daripada kedurjanaan Umno-Barisan Nasional.

Pemimpin dan perwakilan PAS dari seluruh negara, harus membuka minda mereka seluas-luasnya dan harus memuhasabah diri, memikirkan apakah ciri-ciri yang melayakkan mereka menjadi penyumbang kepada peneraju perubahan dalam negara.

Sesungguhnya keberadaan PAS dalam negara ini, bukan untuk menjadi parti yang menumpang arus yang diciptakan oleh rakan seperjuangan, tetapi sudah sampai masanya PAS menjadi pemain utama yang mencipta arus rakyat.

Untuk itu, kepimpinan dan seluruh ahli PAS harus berganding bahu, bukan sahaja membentuk jati diri mereka sebagai muslim yang komited dengan sahsiah yang unggul, malah harus mempunyai elemen-elemen yang dikagumi rakyat keseluruhannya.

PAS wujud untuk memartabatkan Islam, memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan, bukan untuk dalam kalangan PAS sahaja, tetapi ianya untuk seluruh rakyat Malaysia.

Dalam menghadapi pemilihan kali ini, seluruh perwakilan harus meletakkan keutamaan menyediakan PAS, untuk terus memainkan peranan utama dalam pentas politik negara bersama Pakatan Rakyat.

PAS harus semakin memperkukuhkan kerjasama dengan parti-parti KeADILan dan DAP. PAS harus ke hadapan dalam menjalim hubungan dengan NGO, khususnya dari kalangan bukan Melayu, bukan Islam.

Untuk mendepani cabaran ini, untuk meletakkan PAS terus unggul di persada politik negara, PAS harus membentuk agenda perjuangannya sesuai dengan aspirasi rakyat.

Agenda yang menepati kehendak atau aspirasi rakyat adalah suatu agenda yang meletakkan keutamaan memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat dengan adil dan saksama tanpa memilih warna kulit, kaum mahu pun agama.

Rakyat mahu melihat terus melihat bagaimana kerajaan negeri yang diterajui PAS di Kelantan, sepenggal di Terengganu dan kini di Kedah, mengamalkan dasar negara berkebajikan mengikut kehendak Islam.

Keadilan Islam yang diterajui perjuangannya menerusi PAS harus dilaksanakan, ditawar dengan sebaik-baiknya agar seluruh rakyat Malaysia memahaminya.

Apabila rakyat sudah faham dan menikmati kebaikan dan kebajikan berasaskan Islam, sekali gus sebarang persepsi buruk terhadap Islam itu sendiri akan dapat dihapuskan.

Dengan penghapusan jurang ini, ia semakin mendekatkan PAS dengan rakyat. Perjuangan PAS adalah untuk semua. Untuk memperjuangan hak semua rakyat pemimpin PAS harus dekat dihati rakyat.

Maka perwakilan Muktamar PAS kali ini mempunyai peranan yang amat besar. Iaitu memilih pucuk pimpinan dan menetapkan agenda yang mampu memartabatkan PAS ke tahap yang lebih unggul.

Moga-moga perjuangan Islam yang dibawa PAS akan diterima dan diiktiraf, serta meletakkannya sebagai peneraju unggul dalam Kerajaan Pusat bersama Pakatan Rakyat pada PRU akan datang.

Selamat bermuktamar!