Sunday, December 11, 2011

Analisa PRU 12, 2008, Sejarah Perang Proksi Bermula

aby Sheih on December 9, 2011


Sebenar-benarnya, tiada kerusi yang selesa di dalam PRU 12. Hampir di keseluruhan kerusi yang ditandingi oleh Barisan Nasional di Semenanjung Malaysia menyaksikan kemuncupan undi yang diterima dan undi majoriti kemenangan.
Adakah UMNO tidak pernah menjangkakan ini akan berlaku di dalam PRU 12 tersebut? Mimpi apa yang mengulik mereka saat itu hingga tidak terjaga oleh kebisingan keluhan rakyat. Itulah bahananya mempunyai kepimpinan yang asyik tidur. Mana mimpi dan mana realitipun sudah tidak dapat lagi dibezakan. Hulubalang di dalam UMNO pula lebih sibuk mengampu Abdullah Ahmad Badawi sekeluarga daripada mengatur langkah di medan juang. Akibatnya, keputusan terbaik BN pada 2004 bertukar menjadi keputusan paling ngeri di dalam sejarah BN.
Di konstituensi Parlimen pemilih Melayu melebihi 50%, BN UMNO hanya menang 31 kerusi dengan majoriti melebihi 20%. 17 kerusi itu dimenangi dengan menewaskan PAS, 13 menewaskan PKR dan 1 menewaskan PRM. BN GERAKAN menang 2 menewaskan PAS Manakala MCA menang 3 menewaskan DAP.
Bagi pembangkang pula, PAS menang 4 kerusi dengan kesemuanya menewaskan UMNO. PKR menang 2 dengan menewaskan UMNO dan MCA.
Carta-carta berikut menjelaskan keadaan sepenuhnya.
Di dalam konstituensi Parlimen pemilih Bukan Melayu melebihi 50% pula, BN hanya menenangi 4 kerusi Parlimen dengan majoriti selesa melebihi 20%. BN UMNO menenangi 1 kerusi menewaskan PKR manakala parti komponen Bukan Melayu dalam BN hanya menang 3 kerusi. Kesemua 3 kerusi itu dimenangi oleh MCA dengan masing-masing menewaskan DAP di Kulai dan menewaskan PAS di Tebrau. Kedua-dua konstituensi ini di Johor. Kerusi terakhir yang dimenangi selesa oleh MCA pula ialah di Bentong, Pahang menumpaskan PKR.
Bagi pembangkang pula, DAP menang 19 kerusi dengan majoriti selesa 20% atau lebih, PKR menang 1 dan PAS menang 1.
Carta-carta berikut menjelaskan keadaan sepenuhnya.
Secara keseluruhannya, UMNO menang 13 kerusi Parlimen di Johor dengan majoriti selesa melebihi 20%, dan Johor dalam 2008 terus kekal sebagai sebagai kubu kuatnya. MCA juga menang 4 kerusi parlimen dengan majoriti lebih 20% di Johor. Prestasi terbaik bagi DAP pula ialah di Pulau Pinang dengan memenangi 6 kerusi dengan selesa. Di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan pula DAP menang 4 kerusi dengan selesa di setiap negeri tersebut.
PAS pula menang selesa di 3 kerusi di Kelantan dan masing-masing 1 di Perak dan Selangor.
Majoriti kemenangan 20% dalam PRU 2008 dianggap sebagai satu majoriti yang selesa dan sukar berubah di dalam PRU akan datang. Ini kerana setakat ini masih belum terdapat indikasi jelas menunjukkan perubahan mendadak sokongan pemilih kepada BN atau Pakatan Rakyat. Rata-rata dirasakan prestasi BN di kawasan-kawasan tertentu di Semenanjung, terutama di kawasan pemilih Melayu melebihi 50% akan bertambah baik tetapi tidak sebaik PRU 2004.
Bagi pembangkang pula sehingga kini belum ada indikasi jelas bahawa kekuatan mereka semakin bertambah, sebaliknya selepas kejayaan cemerlang dalam PRU 2008, mereka terus dirundung kontroversi demi kontroversi yang tidak menasabah menyebabkan indikator mereka semakin ke bawah. Namun begitu, dirasakan prestasi mereka tidak akan seburuk PRU 2004. Bagaimanapun pembangkang mempunyai kelebihan dari segi kejayaan mendaftarkan pemilih baru dan kejayaan mengumpulkan kekuatan dikalangan bukan Melayu.
Walaupun secara keseluruhannya jumlah undi popular yang bakal di perolehi oleh pembangkang akan merosot tetapi ini tidak sekali-kali akan memberi kesan keseluruhan kepada jumlah kerusi yang akan mereka perolehi. Tambahan pula kekuatan pembangkang ialah terhadap perbezaan ideologi dan varieti kepimpinan yang niche terhadap konstituensi-konstituensi tertentu. Ketidak-seragaman ini akan menjadi kelebihan yang sukar ditandingi oleh BN yang lebih seimbang ideologi dan perjuangannya.
Di dalam erti kata lain, PAS walau gagal mengaut sokongan majoriti Melayu di kawasan pengundi Melayu boleh menang dengan sokongan DAP dan DAP boleh menang dengan sokongan PAS dalam pertembungan satu lawan satu dengan MCA, GERAKAN atau MIC. Inilah Perang Proksi.
Di manakah medan Perang Proksi ini? Medan perang proksi ini ialah di konstituensi-konstituensi di mana kemenangan sesebuah parti dalam PRU 12 lalu kurang dari 20% undi.
Di Semenanjung Malaysia jumlah medan itu ialah sebanyak 97 buah konstituensi Parlimen.  Di dalam PRU 2008 lalu, BN UMNO menang 33 kerusi dengan majoriti kurang 20%, BN MCA 11, BN MIC 5, BN GERAKAN 4.
PAS pula menang 20 kerusi Parlimen dengan majoriti undi kurang 20%, PKR 18 dan DAP 6.
Berikut adalah carta-carta yang berkaitan.
Perang Proksi – Bagaimana DAP Tewaskan Melayu

Husam Musa, Naib Presiden PAS, pakar hubungan Melayu-Cina
DAP kemudiannya menguasai 63% atau 11 kerusi parlimen di konstituensi pemilih bukan Melayu di antara 60-79%% dan menguasai 11% atau 2 kerusi di konstituensi Parlimen yang pemilih bukan Melayunya antara 50-59%.
Realiti – Daripada 51 kerusi parlimen majoriti pemilih bukan Melayu lebih dari 50%, DAP menguasai 26 kerusi, PKR 10, PAS 1 dan BN 14. Daripada jumlah itu, jika dilihat dari segi komposisi kaum, ia menterjemahkan kepada 34 ahli parlimen berketurunan Cina, 12 ahli parlimen berketurunan India dan lain-lain dan 4 ahli parlimen Melayu.
Bagaimana pula prestasi DAP di dalam PRU akan datang. Hakikatnya, DAP mungkin hanya dapat menambah tidak lebih dari 6 buah kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia melainkan mereka dapat memujuk PKR untuk menyerahkan beberapa kerusi majoriti bukan Melayu yang sebelum ini ditandingi oleh PKR.
Di Sarawak DAP berpotensi untuk memenangi 6 buah kerusi Parlimen dan dua lagi di Sabah.
Oleh yang demikian, di dalam PRU ke 13 akan datang, paling banyak DAP akan dapat menguasai 40 kerusi parlimen. Secara kasar, ini tentu sekali tidak mungkin dapat menggugat kedudukan UMNO apalagi mencabar penguasaan Melayu di Malaysia.
DAP amat arif mereka tidak akan dapat menumpaskan UMNO jika mereka meletakkan calon mereka di kerusi-kerusi majoriti pemilih Melayu melebihi 50%. Oleh sebab demikian, DAP memerlukan PAS sebagai proksinya.
Maka PRU 13 akan menyaksikan perang proksi yang hebat. Perang proksi itu dijangka akan tertumpu di kerusi-kerusi parlimen di mana majoriti pemilih Melayu di antara 50-79%. Di dalam PRU ke 12 lalu didalam kategori ini, BN UMNO menang 38, BN MCA 5, BN GERAKAN 2, PAS 8, PKR Melayu 15 dan PKR lain-lain 3. Dari segi komposisi keturunan pemenangnya pula, Melayu memenangi 61, Cina 7 dan India 3.
Tumpuan perang proksi DAP ini antaranya ialah di 2 kerusi parlimen di Pulau Pinang, 5 di Perak, 4 di Pahang, 3 di Selangor, 2 di Wilayah Persekutuan, 5 di Negeri Sembilan, 3 di Melaka dan 13 di Johor. Di sini adalah medan untuk DAP melagakan Melayu lawan Melayu dengan harapan perpecahan pengundi Melayu akan memberi ruang kepada pembangkang, terutamanya PAS untuk menang.
Sekiranya perpecahan Melayu pada kadar 55% menyokong BN dan 45% menyokong pembangkang, secara matematiknya PAS akan dapat merampas 9 buah kerusi Parlimen dan PKR Melayu 11 buah kerusi parlimen. Ini bererti 20 kerusi Parlimen milik BN di konstituensi pemilih Melayu akan jatuh kepada pembangkang.
Bagaimana PAS dan PKR Melayu dapat menambah 20 buah kerusi di dalam keadaan hanya memperolehi 45% undi pemilih Melayu? Jawapannya ialah menerusi perang proksi oleh DAP. 20 kerusi Melayu itu pada masa kini 10 daripadanya adalah milik UMNO dan 10 lagi milik parti-parti komponen BN di Semenanjung.
DAP memerlukan 32 kerusi parlimen daripada 51 kerusi majoriti bukan Melayu di Semenanjung. DAP juga hanya perlu menang 6 kerusi parlimen di Sarawak dan 2 di Sabah.
Seandainya ini berlaku, Pakatan Rakyat akan dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah sejumlah diantara 112 ke 116 kerusi di dalam Dewan Rakyat. PAS bagaimanapun akan kekal sebagai parti terkecil di dalam Pakatan Rakyat dengan hanya 30 kerusi atau lebih. UMNO pula akan menjadi pembangkang dengan 59 ke 69 kerusi.
DAP akan menjadi parti paling berpengaruh di dalam kerajaan baru menerusi proksinya di dalam PAS dan PKR Melayu.