Sunday, December 19, 2010

Ramalan PRU 13

Pilihan raya umum (PRU) ke-13 diramal diadakan pada suku kedua tahun depan atau tahun selepas itu, demikian menurut ramalan veteran Umno Datuk Shahrir Samad.

Ahli parlimen Johor Bahru itu berkata pilihan raya umum tidak akan diadakan Mac tahun depan seperti yang dijangkakan oleh parti pembangkang.

Beliau berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih mahu melihat lebih banyak hasil diperoleh daripada semua dasar yang
diperkenalkan sejak menjawat jawatan pada 3 April tahun lepas.

"Jadi, pilihan raya tidak akan diadakan secepat mungkin, mungkin akan diadakan pada akhir 2011 atau selepas itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program kesedaran kesihatan di Kampung Sulaiman Menteri di Johor Bahru hari ini.

Shahrir berkata Pakatan Rakyat hendaklah menumpukan perhatian untuk memberikan khidmat kepada rakyat dan bukan terlalu tertumpu pada pilihan raya umum.

Shahrir yang juga ketua Umno bahagian Johor Bahru berkata setakat ini pembangkang lebih berminat pada pilihan raya.

Mengenai kekecohan oleh ahli Pakatan Rakyat di Parlimen ekoran empat anggota parlimennya digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat itu, beliau berkata insiden itu nampaknya telah dirancang.

"Saya rasa anggota parlimen Pakatan tahu peraturan parlimen tetapi mereka pilih untuk mengabaikannya untuk meraih perhatian politik remeh temeh," sambil menyifatkan ia satu taktik yang penuh dengan kekeliruan.

Empat anggota Parlimen pembangkang yang digantung kehadiran selama enam bulan ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga ahli parlimen Permatang Pauh, Azmin Ali (Gombak), Karpal Singh (Bukit Gelugor) dan R.Sivarasa (Subang).

Mengenai pilihan raya kecil DUN Tenang, Shahrir berkata jentera pilihan raya BN hendaklah menerangkan isu-isu sementara bekerja untuk mengekalkan keyakinan rakyat dalam parti campurannya.

Adalah terlalu awal untuk meramalkan hasil keputusan pilihan raya kecil itu tetapi jentera pilihan raya BN hendaklah bekerja keras bagi memastikan
kemenangan.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada BN Datuk Sulaiman Taha, 59 pada Jumaat lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment