Sunday, January 9, 2011

Mengatasi Kekuatan Umno

SUBANG, 9 Jan: Datuk Abu Bakar Chik mengingatkan semua pendukung PAS supaya sentiasa berusaha menguatkan parti bagi mengatasi jentera Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) nanti.

Ini, katanya kerana PAS lazimnya akan menentang calon Umno yang mewakili BN di kawasan majoriti Melayu pada setiap kali pilihan raya.

“Kita kena atasi kekuatan Umno sebab kita bertanding di kawasan Melayu,” ujarnya selaku Ahli Jawatankuasa PAS Pusat pada Program Motivasi Jentera Pilihan raya Dun Kota Damansara di Pejabat PAS Kawasan Subang, Subang Perdana malam tadi.

Beliau menambah, ini bertepatan dengan hasrat parti yang bersedia untuk menggantikan Umno pada PRU 13 nanti.

Katanya, semua peringkat organisasi parti perlu menjaga kekuatan masing-masing.

“Kita bina kekuatan parti kita mengikut dasar dan polisi parti,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Justeru, tegasnya, kekuatan yang ada pada perjuangan PAS tidak perlu diragui oleh seluruh ahli.
“Jangan ragu-ragu dengan perjuangan kita kerana kekuatan kita juga adalah kekuatan Islam dalam negara ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya seluruh jentera parti perlu berusaha keras bagi menghadapi PRU 13 dengan membuat perancangan secukupnya dan strategik bagi mencapai kejayaan.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat turut mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak terikut-ikut dengan rentak sesetengah pihak yang sering mengkritik kepimpinan tanpa mengikut saluran yang betul.

Katanya, sikap sedemikian bukan sahaja boleh merosakkan jemaah sebaliknya membawa kejatuhan kepimpinan kerajaan negeri yang dikuasai.

No comments:

Post a Comment