Friday, April 8, 2011

Dr Juanda vs Zainul Rajal

Mufti Perlis Dr Juanda Jaya perlu memahami Undang-undang Keterangan Islam dan Tatacara Prosedur Jenayah Mahkamah Syariah untuk membezakan penerimaan bahan bukti dan sabitan sesuatu kesalahan, kata Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau mengulas kenyataan Dr Juanda yang membidas kenyataannya Rabu lalu, bahawa video seks seseorang yang didakwa berzina boleh dijadikan bukti di Mahkamah Syariah.

"Saya ingin menjelaskan di sini bahawa saya telah ditanya oleh seorang wartawan Utusan Malaysia “adakah rakaman video boleh diterima sebagai bahan bukti di Mahkamah Syariah?”

"Saya ditanya atas kapasiti sebagai presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan pengamal undang undang syariah.
"Jawapan saya ialah dalam undang undang keterangan Islam pembuktian yang terbaik adalah melalui iqrar, kemudian syahadah dan bayyinah yang juga termasuk qarinah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, di mahkamah syariah bayyinah telah digunapakai secara meluas, termasuk rakaman video gambar dan dokumen lain. Ia juga tidak terhad kepada kes-kes mal, malah kes jenayah juga.

Pandangan ulama seperti Ibn Farhun dan Ibn Jawziyah juga, tambah Zainul Rijal, agak jelas dalam hal bayyinah.

"Jadi apabila ditanya sedemikian, saya mengatakan rakaman video boleh diterima sebagai bahan bukti kerana ia merupakan bayyinah dan qarinah.

"Saya tidak sekali-kali mengatakan hanya dengan rakaman video tersebut yang merupakan bayyinah, sabitan terhadap kesalahan zina boleh dibuat. Penerimaan bahan bukti dan sabitan di mahkamah adalah dua perkara yang berlainan.

"Saya menganjurkan Dr Juanda memahami undang-undang keterangan Islam dan tatacara prosedur jenayah mahkamah syariah bagi membezakan penerimaan bahan bukti dan sabitan sesuatu kesalahan.

"Malah dalam undang-undang jenayah syariah juga, sekiranya sesuatu kesalahan hudud itu tidak dapat dibuktikan mengikut prinsip pembuktian yang ketat bagi kesalahan hudud, hakim boleh menjatuhkan hukuman taazir dengan menggunakan bahan bukti bayyinah," tambahnya.

Di mahkamah syariah, kata Zainul Rijal lagi, sekiranya sesuatu bukti itu diterima sebagai bayyinah, tidak semesti sabitan boleh dilakukan.

"Sebagai contoh seorang yang telah membuat laporan polis bahawa dia telah didera. Laporan polis tersebut boleh diterima sebagai bahan bukti (bayyinah) tetapi dengan laporan polis sahaja tidak mungkin sabitan fasakh umpamanya boleh dibuat.

"Prinsip-prinsip ini semuanya telah jelas di dalam undang-undang Islam. Dr Juanda perlu memahami sepenuhnya apa yang saya katakan dan tidak terlalu pantas menghukum sebagai menyeleweng dari Islam.

"Neraca yang digunakan adalah perundangan Islam yang berkuatkuasa di negara ini bukan berdasarkan emosi," tambahnya.

Zainul Rijal berkata, sekiranya Dr Juanda masih berpendapat bahawa bayyinah seperti ini masih lagi menyeleweng dari prinsip Islam, "saya sarankan kesemua peruntukan di dalam Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Perlis dikaji semula kerana penyelewengan tersebut.

"Negeri Perlis juga menggunapakai peruntukan yang sama. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk kesemua pihak kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah khususnya Surah al-Hujuraat ayat 6," katanya.

No comments:

Post a Comment