Pendedahan rakaman video seks awal minggu lalu boleh memperkukuh imej Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim jika beliau dapat meyakinkan rakyat bahawa beliau bukan lelaki dalam rakaman itu, demikian menurut Wall Street Journal hari ini.
Akhbar yang mempunyai edaran di seluruh dunia menulis, jika Ketua Umum Pakatan Rakyat itu berjaya dalam usahanya menafikan pembabitan beliau, ia akan memperkukuh kepercayaan bahawa bekas timbalan perdana menteri itu adalah mangsa komplot politik dan akan mendatangkan kesan buruk ke atas Umno, yang dilihat ramai sebagai pihak di sebalik pendedahannya.
“Jika Encik Anwar boleh meyakinkan rakyat Malaysia bahawa beliau bukan lelaki dalam rakaman itu, serangan terbaru ini hanya akan menjadikannya lebih kuat, ia akan memperkukuhkan kepercayaan di dalam dan luar negara bahawa beliau adalah mangsa pendakwaan bermotifkan politik,” kata akhbar itu.
“Ia akan membawa berita buruk bagi Umno, yang telah pun mengatakan rakaman video itu tidak kaitan dengan mereka,” tulis akhbar itu dalam ruangan pendapatnya, siaran hari ini.
Ia menulis bahawa Barisan Nasional (BN) diterajui Umno kini terdedah kepada tanggapan tidak memihak mereka meskipun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada dalam “kapal selesa” sejak menerajui kepimpinan pada April 2009.
Jumaat lalu, Najib yang Presiden Umno berkata, partinya tidak terlibat dalam skandal pendedahan rakaman video seks oleh tiga “Datuk T”, yang didakwa melibatkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat.
“Soalnya sama ada rakaman itu benar atau tidak, sebab kalau benar maknanya ada satu perbuatan mungkar yang berlaku. Itu perkara utama yang perlu ditentukan,” kata Perdana Menteri selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
“... sebab ada pihak condong untuk bangkitkan soal konspirasi dan sebagainya jadi ini mengalih dari soal pokok sama ada berlaku atau tidak perbuatan yang mungkar itu dan dirakamkan atau tidak,” tambahnya.
Anwar yang membuat laporan polis Selasa lalu mendakwa wujud pembabitan Najib dan juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein, yang juga Naib Presiden Umno, dalam isu ini.
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail mahu Najib dan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memikul tanggungjawab dalam hal ini ekoran pengakuan “Datuk T’ bahawa mereka yang mendedahkan rakaman video seks ini.
Najib berkata apa yang penting adalah untuk menyiasat kesahihan dan ketulenan video itu kerana parti berpegang kepada prinsip kebenaran sama ada perbuatan itu benar-benar berlaku dan dirakamkan.
Rabu lalu, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan seorang ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah memberi keterangan
mengenai video itu di Ibu pejabat Polis Bukit Aman serta menyerahkan rakaman video itu serta seutas jam tangan Omega kepada pihak polis.
Abdul Rahim merupakan bekas ketua Pemuda Umno pusat dan Pengerusi Risda.
Akhbar Wall Street Journal menambah, waktu rakaman video seks ini didedahkan juga signifikan dari segi politik memandangkan pilihan raya umum tergempar dijangkakan lewat tahun ini.
Pilihan raya negeri Sarawak yang pembangkang meletakkan sasaran untuk merekodkan prestasi lebih baik kali ini akan berlangsung 16 April.
Anwar kini berhadapan dengan kes liwat kedua dan nasibnya dijangka diketahui bulan depan selepas pendakwa telah menutup kes mereka baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment